fb fb fb fb fb

PM seru rakyat jadikan Aidilfitri titik tolak perpaduan

FOTO FACEBOOK Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 31 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar menjadikan Aidilfitri sebagai medan untuk terus memperkukuh perpaduan dan memperjuangkan keadilan bagi membela mereka yang teraniaya selaras dengan nilai diterapkan sepanjang bulan Ramadan.

Dalam kenyataan dimuat naik di Facebook rasmi beliau, Perdana Menteri menzahirkan kesyukuran atas keberkatan Ramadan yang menjadi madrasah ruhiyyah dalam mendidik jiwa, membentuk disiplin serta memperkukuh integriti.

"Keinsafan yang lahir daripada Ramadan seharusnya membangkitkan rasa tanggungjawab untuk memperjuangkan keadilan dan membela mereka yang teraniaya," katanya.

Beliau menegaskan Islam menitikberatkan keadilan dan kebajikan sebagai asas kepada masyarakat yang harmoni.

Oleh itu, beliau mengajak rakyat agar terus memupuk rasa hormat antara satu sama lain, memperkukuh hubungan antara kaum dan agama serta menanam nilai ihsan dan kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat.

"Tanpa nilai-nilai ini, kestabilan dan keamanan yang kita harapkan tidak akan dapat dipertahankan.," tambahnya.

Sempena sambutan Aidilfitri, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan menjadikan hari kemenangan ini sebagai titik tolak untuk memperbaiki diri dan membentuk masyarakat yang lebih berakhlak, bertanggungjawab, dan berjiwa besar.

"Hari kemenangan ini bukan sekadar penamat kepada Ramadan, tetapi satu permulaan untuk kita menjadi insan yang lebih baik dan lebih berwibawa," ujarnya.

Dalam kesempatan itu, beliau turut memohon kemaafan atas sebarang kekurangan dan berjanji untuk terus berusaha membawa kebaikan kepada semua.

"Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia daripada saya dan keluarga. Semoga kita dikurniakan keberkatan, kebahagiaan dan kesejahteraan berpanjangan, Insya-Allah," katanya.

SITI AISHAH MD ISA