fb fb fb fb fb

Tiga pihak masukkan RM2.23 bilion dalam akaun peribadi Najib Razak

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 29 September- Sejumlah RM2.23 bilion telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak dari tahun 2011 hingga 2013 oleh tiga pihak, perkara tersebut diberitahu oleh seorang pegawai bank di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.

Ia termasuk dua syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Saksi ke-38, Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank Yap Wai Keat, 57 tahun berkata, kedua-dua syarikat itu, Blackstone Asia Real Estate Partners dan Tanore Finance Corp, telah mendepositkan RM2.2 bilion ke dalam akaun bekas perdana menteri itu yang berakhir dengan nombor 694, melalui 11 transaksi pada tahun 2012 dan 2013.

Selain syarikat itu, RM60.6 juta turut diterima daripada Putera Faisal Bin Turki Bandar Al Saud melalui dua transaksi pada Februari dan Jun 2011.

Yap yang terlibat dalam sebut harga kadar pertukaran asing bagi kiriman wang masuk atau keluar pada ketika itu, berkata, beliau telah diarahkan pengurus perhubungan AmBank yang mengendali akaun Najib, Joanna Yu Ging Ping untuk membantu dalam perkara berkaitan pertukaran asing di bawah Bahagian Pasaran untuk akaun tersebut.

Datuk Seri Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB funds dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Khamis.

(Foto hiasan)

 

Media Baharu