fb fb fb fb fb

Tiga parah kereta dinaiki terbabas, masuk longkang

FOTO BOMBA

TEMERLOH, 4 Mac- Seorang pemandu dan dua penumpang cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan masuk ke dalam longkang di Jalan Temerloh-Jerantut dekat Kampung Paya Keladan di sini, petang tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, dua lagi penumpang kereta terbabit cedera ringan dalam kejadian tersebut.

Pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 4.36 petang.

Seramai empat anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh bersama dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Mentakab dikerahkan ke tempat kejadian.

Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat dan diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan.

Kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini menggunakan kenderaan EMRS.

0403 PARAH TERBABAS LONGKANG
FOTO BOMBA

SITI AISHAH MD ISA