fb fb fb fb fb

Tiga maut, bas ekspres dua tingkat terbabas

(FOTO: IPD Lipis)

KUANTAN, 20 September- Tiga lelaki maut selepas bas ekspres dua tingkat dinaiki mereka terbabas di Kilometer 81 Jalan Lipis-Merapoh berhampiran Kampung Kubang Rusa, kira-kira 90 kilometer dari Kuala Lipis, awal pagi tadi. 

Mereka yang meninggal dunia ialah pemandu bas Ab Aziz Daud, 63, dan dua penumpang iaitu Shukri Mat Noor, 55, serta Hossain Kamal, 41, yang merupakan warga Bangladesh. 

Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor memaklumkan kemalangan berlaku sekitar 1.50 pagi semasa bas yang membawa 18 penumpang itu dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur. 

"Bas itu dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh menyebabkan terbabas ke bahu jalan. Kejadian juga menyebabkan enam lagi penumpang dan pemandu kedua bas itu cedera, selain bahagian kiri bas remuk," katanya.


(Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor)

Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk proses bedah siasat.

Kemalangan disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 1.55 pagi.
 
Enam anggota bersama tiga pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis serta tiga jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
 
Pasukan bomba terlibat membuat operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat dan menghantar mangsa ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). 
 

Media Baharu