KUALA KRAI, 30 Mei – Tiga individu maut manakala seorang lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan kereta di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Kampung Sungai Sam, pagi tadi.
Dalam kejadian pukul11.30 pagi itu, mangsa yang maut terdiri daripada pemandu dan dua penumpang kereta, manakala pemandu bas hanya mengalami kecederaan ringan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Idris Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.20 pagi dan tiba di lokasi 35 minit kemudian.
“Sebaik tiba, kami dapati berlaku pertembungan antara bas ekspres dan sebuah kereta Tiga mangsa dewasa ditemui tersepit dalam kereta dan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya.
Katanya, pemandu bas berjaya dikeluarkan dan diberi rawatan, manakala jenazah mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat mengesahkan kejadian dan berkata maklumat terperinci akan diberikan dalam masa terdekat.