fb fb fb fb fb

Tengku Zafrul umum keluar UMNO, bakal sertai PKR

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 30 Mei - Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, hari ini mengumumkan pengunduran dirinya daripada UMNO dan memaklumkan hasrat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook rasminya, Tengku Zafrul berkata beliau telah menghantar surat peletakan jawatan kepada pucuk pimpinan UMNO, sekali gus melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli parti.

“Keputusan ini bukan sesuatu yang mudah. Saya telah meminta nasihat dan pandangan daripada sahabat-sahabat dalam dan luar parti, termasuk YAB Presiden UMNO sendiri,” katanya.

Menurutnya, beliau mengambil masa yang panjang untuk mempertimbangkan keputusan tersebut secara mendalam memandangkan UMNO merupakan satu-satunya parti politik yang pernah disertainya sejak 1997.

“Setelah bermuhasabah diri dan menilai pelbagai faktor, khususnya soal keserasian dan kesesuaian, saya akhirnya memilih untuk berundur,” katanya.

Tengku Zafrul turut memaklumkan bahawa beliau telah menyatakan hasrat menyertai PKR kepada Presiden dan Setiausaha Agung parti itu dan akan mengikuti proses permohonan sebagai ahli seperti biasa.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan, penyokong dan ahli UMNO atas sokongan yang telah diberikan sepanjang penglibatan saya dalam parti. Jasa anda semua akan saya kenang selama-lamanya,” katanya.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN