Tiga feri penumpang musnah terbakar di dermaga Bukit Malut Langkawi

Foto BERNAMA/JBPM

ALOR SETAR, 20 Januari – Tiga feri penumpang yang ditempatkan di Dermaga Kapal Bukit Malut, berhampiran Langkawi, musnah dalam satu kebakaran yang berlaku malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran melibatkan enam feri di Dermaga Bukit Malut, tiga terjejas teruk manakala tiga lagi diselamatkan.
  • Operasi pemadaman dijalankan oleh 23 anggota bomba menggunakan satu aliran hos dan dua pancutan air.
  • Tiada mangsa; api dikawal pada 11.07 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada 2.10 pagi.

Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.46 malam sebelum tiba di lokasi kira-kira 17 minit kemudian.

Beliau berkata kebakaran di dermaga berkenaan melibatkan enam feri, dengan dua daripadanya musnah kira-kira 80 peratus sebelum hanyut ke laut sejauh lebih kurang 50 meter dari lokasi asal.

Menurutnya, sebuah lagi feri terbakar kira-kira lima peratus manakala tiga feri berjaya diselamatkan daripada marak api.

Mohd Zamri berkata satu daripada feri yang terbakar dan hanyut berjaya ditarik ke tebing dengan bantuan bot nelayan.

Manakala sebuah lagi feri tidak dapat ditarik kerana air mula memasuki bahagian belakang kapal.

Seramai 23 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Persiaran Putra dan Langkawi dikerahkan ke lokasi dengan operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos serta dua pancutan air.

Katanya, tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu, api berjaya dikawal pada pukul 11.07 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.10 pagi.