fb fb fb fb fb

"Tidak ada apa-apa gugatan terhadap kedudukan kerajaan" - Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution Ismail

KULIM, 3 November- Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai sebarang masalah mengenai tahap sokongan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat ketika ini.
 
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sokongan terhadap kerajaan adalah sangat meyakinkan dan dibuktikan apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat dasar diluluskan di Dewan Rakyat, semalam.

"Di pihak kerajaan kita bergerak macam biasa, tidak ada sebarang masalah daripada sudut tahap sokongan, sekarang berada pada kedudukan yang sangat menyakinkan.

"Semalam berlaku undian Belanjawan 2024 di peringkat dasar, itu lulus begitu sahaja, berikutnya (kemudian) di peringkat jawatankuasa.

"Jadi, tiada keperluan mendesak pun. Tidak ada apa-apa gugatan terhadap kedudukan kerajaan yang ada sekarang," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan oleh Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dilaporkan berkata, PN sedang mengumpul bukti berhubung dakwaan ugutan diterima Ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong Kerajaan Perpaduan.
 
Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, jika sedang mengumpul bukti, PN tidak seharusnya membuat tohmahan tanpa disokong dengan bukti-bukti sahih mengenai perkara itu.

SITI AISHAH BINTI MD ISA