KUALA LUMPUR, 3 November- Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (OP BPT) dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 17 November bagi mempergiatkan operasi terutama di Sabah dan Sarawak susulan isu penyeludupan beras putih import bersubsidi ke negara jiran.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, sebanyak 196 pemeriksaan premis telah dilaksana melibatkan 71 kilang, 113 pemborong dan 12 peruncit di Semenanjung bagi tempoh sehingga 1 November.
Operasi melibatkan Pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Kastam.
"Melalui pelanjutan tempoh ini, penguatkuasaan secara bersepadu akan terus dijalankan di pintu masuk sempadan Sabah dan Sarawak, serta diperketatkan lagi bagi mengelakkan ketirisan subsidi dan pembaziran wang negara," katanya dalam kenyataan
Foong Hin berkata, terdapat tiga kes sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan sembilan kes di bawah KPDN.
Kementerian mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampurkan beras tempatan dan import, menyeludup atau menyembunyikan bekalan beras.
Aduan atau maklumat berkenaan isu bekalan beras boleh disalurkan melalui hotline 03-8870 2393/2207.