fb fb fb fb fb

Tiada paksaan buat majikan laksana waktu kerja fleksibel-Sivakumar

(FOTO RTM)

TRONOH, 18 Disember-Penetapan waktu kerja fleksibel menerusi pindaan Akta Kerja 1955 tidak bersifat memaksa majikan, sebaliknya ia hanya digalakkan bagi meningkatkan produktiviti pekerja.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata pelaksanaannya bergantung kepada kesesuaian bidang pekerjaan masing-masing.

"Ini adalah galakan kepada majikan untuk mengadakan waktu kerja fleksible. ia akan menjadi satu galakan yang lebih bersifat perundangan, tetapi tiada paksaan. Jadi ini adalah satu penambahbaikan kepada sistem atau cara kita bekerja di negara ini.

(Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar/ FOTO RTM)

"Bukan semua orang boleh mengikuti masa yang sama untuk bekerja, contohnya mungkin ada pihak tertentu yang tidak boleh bekerja antara jam 8 pagi hingga 5 petang disebabkan beberapa urusan seperti tanggungjawab keluarga hingga memaksa mereka masuk kerja lewat dan sanggup pulang lewat," katanya kepada media pada pada Program Khatan Perdana 2022 di Surau Nurul Huda, Taman Tasek Putra, Tronoh, pagi tadi.

Pindaan Akta Kerja 1955 sepatutnya mula berkuat kuasa 1 September lalu, namun ditangguhkan ke 1 Januari ini selepas pihak industri dan majikan sebulat suara memohon penangguhan atas beberapa faktor termasuk memerlukan sedikit masa berikutan kebanyakannya masih dalam proses pemulihan ekonomi.

Antara kandungan pindaan yang ditangguhkan itu ialah penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.

Media Baharu