fb fb fb fb fb

Tiada kompromi standard halal negara - Na'im

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Oktober - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan dakwaan Malaysia berkrompomi terhadap standard halal negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam kenyataan menegaskan, dakwaan itu adalah tidak benar.

Ia boleh menjejaskan reputasi serta integriti Sistem Pensijilan Halal Malaysia yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Perlu ditegaskan bahawa Malaysia tidak sesekali berkompromi terhadap standard halal Malaysia. Mana-mana badan pensijilan halal luar negara, termasuk dari Amerika Syarikat (AS) tetap tertakluk sepenuhnya kepada prosedur, syariah dan standard halal Malaysia."

"Perkara 2.5 hanya memperuntukkan penggunaan logo halal daripada badan pensijilan yang diiktiraf oleh JAKIM bagi tujuan pentadbiran dan kelancaran proses kelulusan. "Namun demikian, semua proses pengauditan, pemantauan dan pengesahan akhir berada sepenuhnya di bawah kawalan JAKIM ," katanya lagi.

"Bagi abattoir (loji sembelihan) yang menghasilkan produk daging dan ayam untuk dieksport ke Malaysia, kelulusan halal hanya diberikan selepas melalui pengauditan mengikut standard dan protokol Malaysia untuk pengeluaran daging dan unggas halal.

Sebarang badan pensijilan halal luar negara yang ingin mengekalkan status pengiktirafan oleh JAKIM mesti mematuhi sepenuhnya semua keperluan Malaysia termasuk aspek syariah, keselamatan, kebersihan dan prosedur audit tanpa sebarang pengecualian.

JAKIM akan memastikan standard pensijilan halal Malaysia kekal utuh dan tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan.

Pengiktirafan mana-mana badan pensijilan luar negara hanya diberikan selepas melalui proses audit menyeluruh yang menilai tahap pematuhan terhadap Standard Halal Malaysia.

Segala perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh Malaysia tertakluk kepada pemakaian peraturan sedia ada di dalam negara. 

Malaysia kekal tegas dalam mempertahankan kedaulatan dan keutuhan standard halal negara. Sistem pensijilan halal Malaysia terus menjadi penanda aras global dan diterima pakai oleh banyak negara Islam serta bukan Islam di seluruh dunia.

EMMI NORALIZA ADNAN