fb fb fb fb fb

Kenyataan Hamzah hanya sekadar 'halwa telinga' - Fahmi

FOTO FB Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 3 November- Kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mendakwa majoriti rakyat mahu parti gabungan itu mengambil alih tampuk pentadbiran negara hanya sekadar untuk menyedapkan “halwa telinga” sendiri dan kumpulan penyokong.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan pada waktu ini adalah cukup baik dan mencecah 149 Ahli Parlimen.

"Alangkah baiknya kalau Hamzah berjaya pujuk pimpinannya untuk terima pelawaan Perdana Menteri sejak dari hari pertama lagi (untuk bersama Kerajaan Perpaduan seperti titah nasihat Tuanku Yang di-Pertuan Agong) atau seperti yang dipelawa awal tahun ini," katanya dalam kenyataan kepada Bernama dan RTM hari ini.

Dalam pada itu, tiada keperluan juga untuk Kerajaan Perpaduan menawarkan sebarang projek kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk mendapatkan sokongan seperti yang didakwa dua Ahli Parlimen PN, baru-baru ini.

"Malah diulang lagi semalam, iaitu untuk bertemu (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Fadillah Yusof dan berunding isu peruntukan (kawasan Parlimen)," jelasnya.

Tambah Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital, PN tidak hilang maruah atau martabat mereka menjadi rendah jika duduk berunding seperti disarankan Perdana Menteri, katanya sambil menambah Pakatan Harapan juga pernah duduk berunding dan akhirnya yang menang ialah rakyat.

“Malah Perdana Menteri telah jelaskan di Parlimen bahawa beliau langsung tidak bertemu dengan dua Ahli Parlimen PN yang telah umum sokongan kepada beliau baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama dan RTM hari ini.

Media hari ini melaporkan Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, kedua-duanya daripada PN mendakwa ditawarkan projek di kawasan Parlimen mereka sebagai imbuhan kepada sokongan terhadap kerajaan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA