fb fb fb fb fb

Tiada aktiviti pencemaran dikesan di daerah Yan dan Sik

FOTO JAS KEDAH

SIK, 18 Februari- Tiada sebarang pencemaran air, aktiviti pelupusan haram buangan terjadual yang mencurigai atau disyaki dan pembakaran terbuka dikesan berlaku di Daerah Yan dan Sik pada cuti hujung minggu di Kedah.

Ia hasil rondaan dan pemantauan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar, JAS Negeri Kedah di kawasan-kawasan hot-spot berkemungkinan berlakunya aktiviti tersebut di kedua-dua daerah berkenaan.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pemantauan bukan sahaja bertujuan untuk mengesan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan berlakunya pencemaran kepada alam sekitar.

Malah risiko gangguan kesihatan kepada orang awam yang berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka, pelupusan haram buangan terjadual, pelepasan effluen dan pelepasan bendasing ke udara oleh premis-premis yang tidak mematuhi had yang ditetapkan oleh JAS.

“Pasukan Penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah akan terus memberi komitmen bagi membanteras punca-punca pencemaran seperti pelupusan haram buangan terjadual, pembakaran terbuka serta pencemaran air dapat dikawal dengan sepenuhnya pada tahap sifar bagi memastikan pematuhan yang baik demi kesejahteraan rakyat,"katanya dalam kenyataan kepada RTM.

Orang awam juga boleh menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 dan http://eaduan.doe.gov.my.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE