PUTRAJAYA, 16 Disember- Rangka lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra ke Malaysia menyasarkan pengukuhan hubungan dua hala dan memupuk kerjasama serantau.
Paetongtarn dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Mesyuarat Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ke-7 dan seterusnya menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) selain persetujuan kerjasama dalam pelbagai bidang.
Lawatan Paetongtarn turut mencerminkan komitmen bersama untuk mencapai “Kedamaian dan Kemakmuran Bersama” demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
Antara tumpuan utama dalam lawatan tersebut termasuk memajukan kerjasama dalam pembangunan infrastruktur, perdagangan dan pertumbuhan ekonomi serta meneroka potensi kerjasama baharu.
Lawatan berkenaan susulan daripada Mesyuarat Ke-15 Suruhanjaya Bersama Bagi Kerjasama Dua Hala dan Mesyuarat Ke-6 Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan antara Malaysia dan Thailand, yang dipengerusikan oleh Menteri Luar kedua-dua negara di Kuala Lumpur pada 6 Ogos lepas.
Lawatan itu juga merupakan lanjutan daripada pertemuan peringkat tinggi antara kedua-dua negara, selepas lawatan kerja Anwar dan Paetongtarn ke Sungai Golok, Thailand dan Rantau Panjang, Kelantan pada 3 Ogos lepas.
Thailand kekal sebagai rakan dagang penting bagi Malaysia, berada di kedudukan keenam terbesar di dunia dan kedua terbesar dalam ASEAN pada 2023 dengan perdagangan dua hala bernilai AS$24.83 bilion (RM113.16 bilion).
Terdahulu, Paetongtarn diberikan sambutan rasmi di Dataran Perdana Putra, di sini, pagi tadi.
Paetongtarn yang tiba di Malaysia pada semalam mengadakan kunjungan sulungnya sejak menyandang jawatan itu pada Ogos tahun ini, disambut Datuk Seri Anwar sejurus tiba pada pukul 9.00 pagi.
Paetongtarn kemudian memeriksa barisan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Adibadiuezshah Ahmad.
Turut hadir pada majlis tersebut, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.