
MEKAH, 24 Mei -Tabung Haji (TH) terus memperkukuh budaya kebersihan dalam kalangan jemaah menerusi Program Kebersihan Bangunan Penginapan Jemaah Haji di Mekah dan Program Kebersihan Masyair bagi musim Haji 1447H/2026M.
- Diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai nilai tambah bagi kebersihan operasi tahunan jemaah haji Malaysia.
- Tujuan bukan hanya kebersihan persekitaran malah membentuk budaya hidup selari semangat Duyufurrahman.
- Dilaksanakan sejak 2017 bersama Arab Saudi, program itu menunjukkan komitmen berterusan dan teladan dalam menjaga kebersihan.
- Inisiatif mencerminkan komitmen TH memastikan kebajikan, keselesaan dan kesejahteraan jemaah diberi perhatian menyeluruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kedua-dua program itu yang diperkenalkan sejak 2017 turut diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai program nilai tambah jemaah haji Malaysia dalam meningkatkan tahap kebersihan operasi tahunan di Tanah Suci.
Katanya, ia bukan sahaja bertujuan memastikan persekitaran penginapan dan kawasan ibadah sentiasa bersih, malah turut membentuk budaya hidup yang selari dengan semangat sebagai Duyufurrahman atau tetamu Allah.
” Ini merupakan kempen yang dilaksanakan sejak 2017 dengan kerjasama Arab Saudi. Alhamdulillah, jemaah Malaysia menunjukkan teladan dalam menjaga kebersihan selain mengelakkan pembaziran,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Kebersihan di Abraj Janadriyah, di sini.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan TH dalam memastikan aspek kebajikan, keselesaan dan kesejahteraan jemaah sentiasa diberi perhatian secara menyeluruh.