fb fb fb fb fb

Tengku Permaisuri Selangor rasmi Unit Penjagaan Harian Onkologi, dinaik taraf bersempena 'Pink October'

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan Unit Penjagaan Harian Onkologi yang dinaik taraf di Hospital Pakar Damansara, bersempena sambutan Pink October 2025./RTM

PETALING JAYA, 8 Oktober – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan Unit Penjagaan Harian Onkologi yang dinaik taraf di Hospital Pakar Damansara, bersempena sambutan Pink October 2025.

Majlis tersebut menandakan komitmen berterusan Hospital Pakar Damansara, bawah kumpulan KPJ Healthcare, dalam memperkukuh perkhidmatan rawatan pesakit kanser serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengesanan awal.

Unit Onkologi yang beroperasi sejak 1997 kini tampil dengan wajah baharu berkonsepkan moden dan menenangkan, dilengkapi bilik rawatan khas serta kemudahan terapi komprehensif seperti kemoterapi dan imunoterapi.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan, berkata penaiktarafan itu memastikan pesakit menerima rawatan dalam persekitaran yang lebih selesa, selamat dan berempati.

Sementara itu, Ketua Jabatan Onkologi, Profesor Madya Dr. Aminudin Rahman menekankan pentingnya kesedaran serta saringan awal, memandangkan masih ramai pesakit dikesan pada peringkat lewat.

Unit berkenaan kini menawarkan rawatan menyeluruh termasuk kemoterapi, terapi hormon, imunoterapi dan penjagaan paliatif yang memberi tumpuan kepada kualiti hidup pesakit.

Majlis tersebut turut disertai pertubuhan seperti Persatuan Kanser KanWork, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA), yang turut mengadakan pemeriksaan kesihatan bagi menggalakkan wanita menjalani saringan awal kanser payudara.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI