fb fb fb fb fb

Tengku Muhammad, Tengku Natasya selamat diijabkabulkan

Tengku Muhammad dan pasangannya, Tengku Natasya selepas selamat diijabkabulkan dalam istiadat yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini.

KUANTAN, 24 Oktober- Putera Sultan Pahang, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan pada 8.50 malam tadi dalam istiadat yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini.

Pasangan Pengantin Diraja itu dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, disaksikan oleh Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah sebagai saksi pertama.

Manakala Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah sebagai saksi kedua, serta dua saksi dari pihak pengantin perempuan.

Istiadat perkahwinan diraja itu turut disaksikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mengenakan persalinan berona hijau bersama paduka-paduka anakanda.

Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, paduka kakanda dan adinda Tengku Muhammad serta kerabat diraja Pahang.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Istiadat kemudian diteruskan dengan Majlis Menyarung Cincin perkahwinan oleh kedua-dua pasangan mempelai sebelum istiadat merenjis yang disempurnakan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disusuli Tengku Hassanal.

Ibu bapa pengantin perempuan Tengku Adnan dan isteri Datin Seri Anggraini Sentiyaki turut merenjis pasangan mempelai.

Istiadat perkahwinan diraja akan diteruskan dengan Istiadat Berinai esok dan Istiadat Persandingan Diraja pada Ahad ini.

Semua istiadat disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Pekan.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI