fb fb fb fb fb

Tengku Mahkota Pahang berangkat ke Majlis Berbuka Puasa YASA, AMG

Foto Facebook Kesultanan Pahang

KUANTAN, 25 Mac - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Berbuka Puasa anjuran Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) bersama Akademi Menara Gading (AMG), di sini.

Majlis yang diadakan bersempena bulan Ramadan itu bertujuan memperkukuh ikatan ukhwah antara pelajar AMG dan golongan kurang bernasib baik.

Pada majlis itu, baginda berkesempatan beramah mesra dengan 155 pelajar AMG dari seluruh Kuantan yang hadir memeriahkan majlis, mewakili 12 Konsortium Sekolah Pahang.

Mereka merupakan peserta Program Pemimpin Muda Pahang di bawah YASA yang dinaungi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Kesemua pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah itu, turut menerima kurniaan duit raya.

AMG yang dibiayai sepenuhnya oleh YASA telah ditubuhkan sejak 1999 dan membantu lebih 1,700 pelajar miskin, anak yatim dan Orang Asli menjejakkan kaki ke menara gading.

TETITIA YUSOFF