Tembakan kenderaan komander AKPS tidak lunturkan semangat warga agensi

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Februari -Insiden tembakan kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin M. Nassi awal pagi tadi, tidak melemahkan semangatnya dan warga kerja agensi itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insiden tembakan tidak melemahkan semangat SAC Mohd Nasaruddin dan warga AKPS.
  • Insiden memperkukuh iltizam pegawai untuk bertindak profesional dan berani mempertahankan sempadan.
  • AKPS jamin keselamatan sempadan terkawal dan tindakan tegas mengikut undang-undang akan diambil.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam kenyataan berkata,  sebaliknya insiden itu memperkukuh iltizam setiap pegawai dan anggota untuk bertindak dengan lebih profesional serta berani dalam mempertahankan pintu masuk negara.

“AKPS memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di sempadan kini terkawal dan tindakan tegas selaras dengan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat keamanan serta kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan tinjauan di ICQS Bukit Kayu Hitam bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung insiden berkenaan, selain memberi sokongan moral kepada petugas barisan hadapan.

Katanya, AKPS memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab itu dan menegaskan bahawa sebarang bentuk ancaman, ugutan atau serangan terhadap petugas keselamatan merupakan jenayah yang tidak akan dikompromi sama sekali.