fb fb fb fb fb

TDM bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan di sempadan negara

Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan

SIK, 16 April- Tentera Darat Malaysia (TDM) mengambil serius dan langkah berjaga-jaga memastikan tidak ada pihak sewenang-wenangnya menyeludup senjata api dan barangan terlarang di sempadan negara.
 
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata demikian ketika mengulas kejadian tembakan di balai ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, berkata walaupun TDM tidak terlibat secara langsung ia melibatkan keselamatan dan kemungkinan senjata api yang digunakan berkaitan jenayah rentas sempadan.

"Kita sedia maklum dalam kes yang dilaporkan itu masih dalam siasatan pihak polis tetapi sebahagian daripada keselamtana kita mengambil iktibar dari segi keberadaan senjata haram yang boleh didapati oleh pihak-pihak tertentu.

"Ia sama ada kita tak tahu daripada mana punca dan asalnya, tetapi kita yakin kemungkinan melaui sempadan negara adalah salah satu cara senjata haram masuk ke negara kita," katanya dalam sidang media  selepas mengadakan lawatan ke Markas Tatikal (MK Tak) Kem Gubir, di sini.

Beliau turut menegaskan keadaan sempadan negara sentiasa terkawal oleh anggota operasi dalam sektor masing-masing di sempadan sepanjang masa termasuk musim perayaan.

Selain itu anggota yang sedang bertugas agar sentiasa mengekalkan mutu disiplin di tahap yang baik bagi menjaga nama baik organisasi TDM serta sentiasa bersiap sedia dan meningkatkan tahap kesiagaan bagi menghadapi sebarang ancaman atau permasalahan.
 
Menurutnya dalam tempoh seminggu tiada tangkapan mengenai sebarang kegiatan penyeludupan barangan terlarang di sempadan dilaporkan.

Pada masa sama Muhammad Hafizuddeain turut meraikan perayaan bersama-sama 115 anggota dan pegawai dan lain-lain pangkat (LLP) terutama mereka yang bertugas di kawasan Op Kota Bravo,Charlie dan Delta.

Majlis itu juga bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh semua lapisan anggota yang beroperasi di perbatasan demi mengekalkan kedaulatan negara.

Turut disampaikan beg dan bungkusan Aidilfitri kepada anggota tentera yang sedang bertugas.

Majlis tersebut turut dihadiri Panglima Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi dan Panglima Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Muhammad Huzaimi Sabri.

Sebagai tanda kenangan lawatan ke kem berkenaan, beliau turut menanam pokok di perkarangan markas taktikal itu.

November lalu Muhammad Hafizuddeain turut berkesempatan melakukan tinjauan di Forward Operating Base (FOB) dalam memastikan keselamatan sempadan daratan Malaysia-Thailand sentiasa pada tahap mampu beroperasi.
 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI