KUALA LUMPUR, 27 Januari - Had laju di semua jalan Persekutuan di seluruh negara akan diturunkan daripada 90 kilometer sejam (km/j) kepada 80 km/j bermula esok hingga 2 Februari depan, sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penurunan sementara had laju selama enam hari sepanjang Op Bersepadu itu bertujuan meminimumkan risiko kemalangan jalan raya.
"Sepanjang tempoh itu, kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal akan dihentikan sementara agar tidak mengganggu aliran trafik manakala kerja-kerja kecemasan yang perlu disegerakan demi keselamatan pengguna akan dirancang sebaiknya.
"Sekiranya perlu, laluan alternatif akan disediakan agar tidak mengganggu perjalanan pengguna ke destinasi dituju,” kata Nanta menerusi satu kenyataan.
Beliau turut mengarahkan syarikat Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) supaya menghentikan sementara kerja pelebaran lorong di jajaran Sedenak-Kulai bermula 23 Januari hingga 3 Februasi 2025, bagi memastikan kelancaran lebuh raya.
Dalam pada itu, Nanta menyarankan semua pengguna jalan raya supaya siap siaga sepenuhnya sebelum melakukan perjalanan termasuk menjaga kesihatan, berehat secukupnya sebelum dan semasa perjalanan agar tidak mengalami keletihan melampau serta mengantuk semasa memandu.
Selain memeriksa kondisi kenderaan termasuk tayar supaya siap sedia untuk perjalanan jauh dan memandu kenderaan secara berhemah, bersabar dan mengikut undang-undang jalan raya.
"Sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang diterajui KKR, semua pengguna jalan raya bertanggungjawab memastikan keselamatan diri dan penumpang serta keselamatan dan keselesaan pengguna yang lain.
"Anggaplah pengguna jalan raya lain sebagai ahli keluarga kita atau ahli keluarga besar Malaysia MADANI. Semoga kita sentiasa meraikan kepelbagaian dan menanam dengan kukuh rasa saling menyayangi, rasa hormat serta terus memupuk nilai–nilai perpaduan dalam sanubari kita," katanya.