fb fb fb fb fb

Tarik subsidi petrol sebelum Aidilfitri tidak benar - Rafizi

Foto hiasan

SHAH ALAM, 23 Mac- Dakwaan mengenai subsidi petrol akan ditarik balik sebelum Aidilfitri adalah tidak benar kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata kerajaan akan memastikan kesemua sistem sokongan khususnya Pangkalan Data Utama (PADU) diselaraskan terlebih dahulu sebelum keputusan mengenai subsidi petrol dilakukan.

"Sebab kita perlu meletakkan perkara ini dahulu. Jadi contohnya tarikh tutup PADU pada 31 Mac ini, mustahil akan ada sebarang keputusan mengenai subsidi petrol dan diesel dalam masa terdekat.

"Kita perlukan data itu dibersihkan. kita kena maklumkan kepada orang ramai. Siapa yang dapat dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas sesi "Townhall bersama Menteri Ekonomi Berkaitan Padu" di sini.

Rafizi memberitahu kerajaan turut mengumumkan sebelum ini, subsidi bersasar akan dipertimbangkan daripada suku kedua tahun ini dan ke hadapan.

Bagi suku pertama tahun ini, kerajaan akan memberi tumpuan untuk menyelesaikan sistem sokongan yang berkaitan pemberian bantuan kepada orang ramai.

Semalam, satu portal berita dalam talian melaporkan sebuah firma penyelidikan memberi jangkaan bahawa harga RON95 dan diesel akan melonjak dalam masa terdekat.

Ia berikutan pengapungan mengikut harga pasaran bagi RON95 dan diesel boleh menjimatkan subsidi bahan api kerajaan sebanyak RM29 bilion.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI