fb fb fb fb fb

Tangguh umrah: Berlapang dada dan akur demi kepentingan semua

PUTRAJAYA, 7 Januari - Umat Islam yang ingin mengerjakan ibadah umrah diminta berlapang dada dan akur dengan keputusan kerajaan menangguhkan ibadat umrah bermula esok sehingga ke tarikh tertentu kerana ia dibuat bagi mengekang penularan varian Omicron.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berkata penularan varian yang membimbangkan itu bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah perlu dinilai dari sudut kepentingan masyarakat secara keseluruhannya.

Tegasnya, apa yang perlu adalah mengutamakan kepentingan nyawa dan kesihatan.

"Dalam situasi pandemik ini, maka keutamaan kita ialah menangani pandemik tersebut dengan bersama-sama memperlahankan dan mengurangkan penularan dalam kalangan masyarakat di negara kita.

"Maka keputusan untuk menangguhkan ibadat umrah pada 8 Januari ini diputuskan oleh pihak kerajaan merupakan keputusan yang patut dan tepat pada masanya kerana kita perlu mengurus hal ini di peringkat yang lebih awal," katanya.

Bercakap di Putrajaya, beliau menyeru masyarakat agar bersama-sama membantu kerajaan dalam menangani wabak COVID-19.

Beliau juga berharap agar kerajaan dapat menyelesaikan beberapa masalah teknikal yang dihadapi dalam kalangan bakal Jemaah umrah serta syarikat pengendali umrah bagi mengelak kerugian dan sebarang salah faham.

Media Baharu