fb fb fb fb fb

Tangani jenayah siber, PDRM kemuka cadangan pindaan akta

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 1 November - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan beberapa cadangan pindaan terhadap Kanun Tatacara Jenayah dan Kanun Keseksaan bagi menangani jenayah siber.

Penambahbaikan terhadap kerangka perundangan perlu dilaksana selari perkembangan teknologi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata cadangan pindaan akta berkenaan sedang diperhalusi kementerian bersama pihak berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara.

"Peningkatan kecanggihan teknologi antara cabaran yang dikenal pasti PDRM dalam menangani jenayah siber terutama penipuan dalam talian yang membolehkan penjenayah berhubung dengan mangsa tanpa sempadan, membolehkan penjenayah sukar dikesan pihak berkuasa," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, di sini.

Tambah Anuar, selain aspek perundangan, fokus juga tertumpu kepada usaha meningkatkan kepakaran dan pengetahuan anggota PDRM.

Untuk itu, katanya anggota akan dihantar untuk mengikuti kursus berkaitan jenayah siber.

Turut dilaksana, penambahbaikan dan pemerkasaan kemudahan terutama makmal forensik dan unit digital forensik PDRM.

Dalam perkembangan lain, Anuar turut memaklumkan, sebanyak 16,752 aduan diterima Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sejak Oktober tahun lepas sehingga kini.

Jumlah kerugian yang dicatat adalah lebih RM128 juta.

RM24.47 juta daripadanya berjaya diselamatkan dan dipulangkan kepada mangsa.

"Dalam menangani jenayah komersial, pelbagai kaedah dilaksana agar masyarakat tidak menjadi mangsa.

"PDRM sentiasa komtied agar maklumat terkini berkaitan modus operandi dan teknik yang diguna scammer dapat disalur kepada masyarakat melalui pelbagai kaedah sama ada secara bersemuka atau di media sosial," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN