KUALA LUMPUR, 26 April - Operasi penyiasatan masih diteruskan oleh agensi penguatkuasa dan polis di lokasi tanah runtuh di pintu utama Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Bukit Tunku Jalan Duta, bermula awal pagi tadi.
Ia terdiri daripada pasukan teknikal Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kerja Raya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Setakat ini lokasi runtuhan tanah itu telah ditutup dengan kanvas sejak semalam dan pihak media tidak dibenarkan untuk masuk dan hanya dibenarkan berada pada jarak 50 meter dari kawasan kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai, pihaknya sedang berbincang dengan pihak teknikal dan beberapa agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Kerja Raya untuk memasang cerucuk besi.
Ia bagi mengelakkan bangunan berdekatan iaitu Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan Akademi SPRM daripada terus terjejas akibat risiko hakisan tanah runtuh yang terjadi sejak semalam.
(Operasi penyiasatan masih diteruskan oleh agensi penguatkuasa dan polis di lokasi tanah runtuh)
Ia berikutan beberapa lagi runtuhan kecil dilaporkan berlaku malam tadi di lokasi kejadian.
Satu sidang media dijangka akan diadakan pada pukul 5.30 petang ini bersama Ketua Polis Daerah Sentul mengenai pertimbangan penanaman cerucuk besi sebagai penyelesaian segera.
Siasatan awal semalam mendapati, paip pecah merupakan salah satu punca yang ditemui mengakibatkan berlaku kejadian runtuhan tersebut selain terdapat takungan air akibat pemendapan tanah yang berlaku di lokasi kejadian.
Sehingga kini, kedua-dua bangunan itu ditutup daripada beroperasi sehingga arahan lanjut dikeluarkan.