fb fb fb fb fb

Pemakaian tanjak semakin mendapat sambutan

SEREMBAN, 26 April- Fenomena pemakaian tanjak yang semakin popular tidak seharusnya melupakan adat dan warisan masyarakat Melayu yang diwarisi sejak zaman dahulu lagi.

Tanjak atau Tengkolok adalah hiasan kepala yang sinonim dengan pemakaian busana, kepahlawanan selain dekat dengan pelbagai acara adat istiadat masyarakat Melayu yang kini menjadi trend untuk digayakan pada Aidilfitri.

Bagi pengusaha tanjak di Sikamat, Mohd Sirajudin Jaafar Sidek, 37 tahun, permintaan terhadap tanjak yang dihasilkannya semakin meningkat terutama menjelang Aidilfitri.

Menurut Mohd Sirajudin, idea bagi membuat tanjak tercetus apabila dia mula menjual tanjak secara menjual barang tanpa simpan stok dan tanpa modal.

Bermula daripada situ dia turut mempelajari seni pembuatan tanjak daripada rakan-rakannya.  

Jelasnya, pemakaian tanjak pada hari raya bukan sahaja memberikan kelainan kepada gaya lelaki yang lebih sinonim dengan songkok, malah ia  menghidupkan kembali identiti budaya dan tradisi Melayu.

(Mohd Sirajudin Jaafar Sidek)

Menurutnya, "tempahan tanjak untuk hari raya memang memberangsangkan sebab orang mula mengenali tanjak ini bukan saja dekat Malaysia orang kenal tanjak ini di Eropah.

"Orang tahu sekarang ini tanjak menjadi satu trend cuma, saya harap jangan menjadi trend sahaja."

Selain itu, tanjak jenis Dendam Tak Sudah, Solok Timba, Lang Nyonsong  Angin, Mahkota Alam, Balong Raja dan Nakhoda Trong antara tanjak yang mendapat sambutan pada hari raya.

"Tanjak ini bukanlah di pakai hari-hari macam kita pakai topi, sebab mungkin tidak sesuai. Kalau ada perayaan atau apa-apa majlis jangan lupakan tanjak," katanya kepada RTM.

Budaya pemakaian tanjak tidak seharusnya dilupakan kerana ia merupakan adat dan warisan masyarakat Melayu sejak berzaman lamanya.

Justeru, masyarakat serta golongan muda perlu lebih peka terhadap adab dan pantang larang ketika menggayakan tanjak.

Media Baharu