fb fb fb fb fb

Laman Cahaya Lebaran Felda Hutan Percha menggamit memori

ALOR GAJAH, 26 April- Sambutan syawal kali ini meriah di beberapa tempat apabila komunitinya mengambil inisiatif untuk menghias kampung mereka.

Di Melaka, Laman Cahaya Lebaran Felda Hutan Percha menggamit memori anak perantau yang merindukan kemeriahan Aidilfitri.

Suasana Felda Hutan Percha sebelum ini suram, kini meriah dengan hiasan lampu LED berwarna warni, arca unik dan juga pelita tradisional.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Hutan Percha, Ahmad Syukri Zulkifli berkata, kali kedua pelaksanaan Laman Cahaya Lebaran ini, seramai 20 anak muda daripada gabungan pelbagai komuniti seperti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Hutan Percha dan KRT Hutan Percha terlibat untuk menjayakan hiasan cahaya itu.

"Pada tahun ni kita bukak lebih panjang daripada tahun lepas, kalau tahun lepas kira buka seminggu sebelum Aidilfitri dan seminggu selepas itu kita buka insha Allah.

"Kalau tiada apa-apa halangan sehingga penghujung 20 Mei kita akan buka. Sama seperti tahun lepas orang muda di sini membantu kami untuk menyiapkan Laman Cahaya untuk lebih kurang 20 orang," katanya di sini.

(Ahmad Syukri Zulkifli)

Malah katanya, usaha itu turut menerima sokongan penuh Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui berkata, suasana kanak-kanak berkumpul dan bermain bunga api di laman itu mengembalikan kenangan menyambut Aidilfitri ketika mereka masih kecil.

Menurut penduduk Muhammad Shahrul Nizam Miaat,"macam sebelum ini kita raya pun di rumah, tidak ada tempat orang berkumpul.

"Kalau dekat Laman Cahaya ini ada tempat tumpuan untuk orang-orang berkumpul macam keluarga, adik-beradik balik kampung dan ada tempat untuk berkumpul dan mengambil gambar."

Bagi Nur Shuhada Erni Syamimi Fadzil, dia tidak menjangkakan tempat tersebut,"meriah dengan lampu warna warni. Teringat kampung halaman tengok suasana dan budak-budak boleh bermain dengan meriah."

 

Media Baharu