KUALA LUMPUR, 26 April- Profesor Wanita Melayu pertama, Puan Sri Profesor Dr. Fatimah Hamid Don meninggal dunia akibat penyakit strok di Hospital Tawakal di ibu negara, awal pagi ini.
Pemergian allahyarhamah disahkan anaknya, Dr Fawziah Tan Sri Ishak.
Jenazahnya akan disolatkan di Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan, Petaling Jaya selepas solat Zohor.
Allahyarhamah meninggalkan dua orang anak perempuan dan dua cucu perempuan.
Sementara itu, cucunya Dr Dima Marlina Mohd Rafi turut berkongsi berita sedih tersebut menerusi hantaran di akaun facebooknya.
Beliau memberitahu, "allahyarhamah merupakan seorang ibu dan nenek, malah sebagai seorang tokoh pendidikan dan pemerkasaan wanita."
Antara pencapaian allahyarhamah ialah menjadi wanita melayu pertama memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang pendidikan di Universiti California, Amerika Syarikat dan pernah menjadi Dekan di Universiti Malaya sekitar tahun 1975
Allahyarhamah juga pernah dilantik sebagai Profesor Perkembangan Kurikulum yang juga Pakar Runding Kurikulum, Kementerian Pendidikan sekali gus menjadi beliau merupakan wanita Melayu pertama yang dilantik menjadi professor.
(Fatimah Hamid Don)