(FOTO HIASAN)
KUALA LUMPUR, 26 April - Seramai 25,000 pengunjung disasarkan hadir ke Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di negeri Kedah yang bakal berlangsung pada 29 April ini.
Program bertaraf nasional itu julung kali diadakan di luar kawasan Putrajaya dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dipilih sebagai kementerian peneraju untuk melaksanakannya.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, W.Husbi W.Mohd berkata, penganjuran program itu akan memberi peluang untuk rakyat di negeri-negeri terlibat bagi bertemu dan beramah mesra dengan pemimpin negara dengan lebih dekat.
"Apabila diadakan di luar lokasi Putrajaya, ini akan memberi peluang kepada rakyat jelata untuk bersama dengan YAB Perdana Menteri dan pada masa sama rakyat berpeluang untuk berjumpa dengan YAB Perdana Menteri secara langsung pada majlis rumah terbuka ini.
"Dari segi pengisian kita ada juga majlis pemberian duit raya dan di samping itu kita juga jemput kombo PDRM untuk bersama-sama menghiburkan tetamu kita yang hadir pada majis berkenaan," kata beliau ketika ditemui Berita RTM selepas menjadi tetamu konti Nasional FM di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.
(Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, W.Husbi W.Mohd ditemu bual Berita RTM
selepas menjadi tetamu konti Nasional FM di Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur)
Tambahnya, program tersebut turut dilaksana dengan kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan yang mengalu-alukan kehadiran semua pihak tanpa mengira latar belakang politik.
Program tersebut akan berlangsung di Hotel Raia, Alor Setar bermula pukul 10.00 pagi hingga 2.00 petang.