fb fb fb fb fb

Tanah runtuh di Gua Musang, 3,000 penduduk orang asli terputus hubungan

Foto ihsan penduduk

GUA MUSANG, 18 Mei- Kira-kira 3,000 penduduk orang asli di Pos Gob dan Pos Simpor di Gua Musang, Kelantan terjejas apabila laluan ke perkampungan mereka tertimbus akibat tanah runtuh, susulan hujan berterusan.

Penduduk berkata, kejadian tanah runtuh dipercayai berlaku pada malam Jumaat dan disedari penduduk yang dalam perjalanan keluar ke bandar untuk membuat urusan harian.

Sekumpulan penduduk orang asli suku kaum Temiar di Pos Gob dan Pos Simpor terpaksa menempuh perjalanan hampir 10 jam untuk keluar mencari barangan keperluan makanan di Bandar Gua Musang selepas berlaku kejadian tanah runtuh berhampiran Bukit Kawug.

Menurut penduduk, mereka bertolak dari kampung pada pukul 9.00 pagi dan tiba di bandar Gua Musang menjelang pukul 7.00 malam.

"Sepanjang jalan itu berlaku tanah runtuh, yang paling teruk di Bukit Kawog. Jarak dari jalan ke tanah runtuh kira-kira dua meter. Ada yang lain mereka menggunakan motosikal, mereka dapat keluar, tetapi mereka kena tolak dan angkat motor tersebut", kata Penduduk Pos Simpor, Mohd Syafiq Dendi Abdullah.

Penduduk Pos Gob, Along Apok pula berkata, keadaan jalan yang rosak teruk menyukarkan sebarang bentuk pengangkutan.

"Kereta dan motosikal tidak boleh jalan. Kalau jalan elok, lima jam sahaja perjalanan. Kami harap ada peruntukan untuk naik taraf jalan sebab susah kalau ada kecemasan atau orang sakit," katanya.

Seorang lagi penduduk, Rosli Alek, berkongsi cabaran lain yang dihadapi penduduk ketika melalui laluan hutan tersebut.

"Motor rosak, pancit tayar. Kadang-kadang terpaksa tidur tepi jalan sebab tak boleh teruskan perjalanan. Banyak cabaran yang dihadapi termasuk gangguan haiwan liar seperti gajah. Kami harap kerajaan dapat turap jalan dari Pos Simpor ke Pos Gob," katanya penuh harapan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, pihak JAKOA telah menerima aduan kejadian tanah runtuh yang menutup laluan menuju ke perkampungan orang asli.

Katanya, pihak JAKOA akan berbincang dengan kontraktor yang sedang membuat kerja-kerja membatu jalan dan pihak ladang bagi melakukan kerja pembersihan tanah runtuh dengan kadar segera.

ROSLINA BINTI DIN