fb fb fb fb fb

Mangsa tanah jerlus masih belum ditemukan - Polis

Rakaman CCTV kejadian tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur yang berlaku pagi tadi

KUALA LUMPUR, 23 Ogos- Operasi menyelamat seorang wanita warga India yang hilang dalam kejadian tanah jerlus yang berlaku berhampiran Masjid India di sini hari ini masih diteruskan setakat pukul 6.00 petang ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, operasi menyelamat akan dilakukan dengan strategi berbeza bergantung keadaan semasa bagi mempercepat usaha berkenaan.

"Ada saksi lihat tak nampak sebarang pergerakan mangsa selepas dia jatuh... maknanya, jatuh terus tak nampak. Di dalam sana saya diberitahu ada aliran air yang deras.

"Kita dah tengok sampai hujung sana, (mangsa) tiada.

"Saya dimaklumkan kalau kita buat penutupan air, mungkin akan berlaku banjir di beberapa kawasan di sini, jadi kita buat (operasi menyelamat) secara berperingkat, (ikut) strategi dan nasihat bomba," katanya kepada pemberita.

Tambah beliau, kawasan terbabit dilapor pernah berlaku kejadian mendapan sebelum ini, namun telah diselesaikan oleh pihak bertanggungjawab.

Rusdi berkata pihaknya juga telah memaklumkan kepada Kedutaan India di Malaysia supaya menyambung visa mangsa dan keluarga sehingga operasi menyelamat selesai.

Katanya, kesemua mereka bercuti di Malaysia selama dua bulan dan esok merupakan hari terakhir percutian mereka.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.22 pagi tadi dan mengesahkan seorang pelancong wanita dari India terperangkap.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA