fb fb fb fb fb

Tambang Skypark Link dari KL Sentral ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dikurangkan 65 peratus

SUBANG, 9 Jun- Kadar tambang bagi perkhidmatan Skypark Link dari KL Sentral ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dikurangkan sebanyak 65 peratus daripada RM10.00 kepada RM3.50 bagi bayaran tanpa tunai berkuat kuasa hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, bagi pengguna yang memilih bayaran secara tunai pula, caj yang dikenakan untuk laluan tersebut adalah RM4.00.

"Bagi perjalanan dari KL Sentral ke Subang Jaya pula, tambang baharu yang diperkenalkan adalah RM2.60 berbanding kadar semasa iaitu RM4.50 yang melihatkan pengurangan sebanyak 43 peratus.

Manakala bagi perjalanan dari Subang Jaya ke Terminal Skypark, tambang baharu yang diperkenalkan adalah RM2.00 berbanding kadar semasa iaitu RM4.50 yang melihatkan pengurangan sebanyak 56 peratus," katanya pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Skypark Link KL Sentral ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang di sini.

(Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Skypark Link KL Sentral
ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang / Foto FB Wee Ka Siong)

Tambah beliau, diskaun separuh harga juga diberi kepada kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun, pelajar sekolah, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Skypark Link menyediakan 32 perkhidmatan tren sehari dengan kekerapan 30 hingga 60 minit.

Perjalanan dari Stesen KL Sentral ke Terminal Skypark mengambil masa 37 minit sahaja.

Media Baharu