fb fb fb fb fb

Bekalan ayam di pasaran kembali stabil

SERDANG, 9 Jun- Bekalan ayam di pasaran kini kembali stabil selepas berdepan krisis sejak beberapa minggu lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai pengurangan bekalan ayam di pasaran.

"Keadaan tersebut didorong peningkatan pengeluran ayam di peringkat ladang yang sudah kembali stabil," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), di sini.

(Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam sidang media Majlis Prapelancaran MAHA 2022)

Jelas beliau, MAHA 2022 akan berlangsung pada 4 hingga 14 ogos depan bertemakan 'Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan'.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Dr Ronald memaklumkan pihak kementerian terus komited memperkukuhkan lagi agenda sekuriti makanan negara.

Beliau menyatakan, sektor agromakanan berdepan dengan pelbagai risiko serta cabaran di peringkat domestik mahupun global.

Ia termasuk cabaran produktiviti dan inovasi pertanian, kos input pertanian, perubahan iklim juga ancaman bencana alam, serangan penyakit dan perosak, tahap adaptasi teknologi serta mekanisasi yang rendah.

''Kita juga mengambil beberapa langkah tambahan untuk mengurangkan kos pengeluaran bahan makanan ini termasuk melihat tarif dalam sektor makanan ini yang perlu dikaji semula oleh Jabatan dan Kementerian tertentu," katanya lagi.

Media Baharu