Taj Mahal kekal karya indah merentas zaman – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri tayangan global perdana filem epik “Taj Mahal: An Eternal Love Story” di IOI City Mall, Selangor/Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 7 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menghadiri tayangan global perdana filem Taj Mahal: An Eternal Love Story yang berlangsung di ibu negara malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Filem dipertingkat dengan teknologi moden namun mengekalkan keindahan asal karya.
  • Kisah cinta Shah Jahan dan Mumtaz Mahal simbol pengorbanan, kesetiaan dan keindahan merentas zaman.
  • Tayangan global di Malaysia menegaskan peranan negara sebagai hab budaya dan diplomasi serantau.
  • Perdana Menteri menghargai pengarah Akbar Khan dan kehadiran barisan pelakon asal.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Perdana Menteri menyifatkan tayangan itu sebagai detik bermakna yang mengangkat seni sebagai jambatan persahabatan, kefahaman serta nilai kemanusiaan sejagat.

Datuk Seri Anwar berkata filem berkenaan kembali ditayangkan selepas lebih dua dekad dalam versi dipertingkat menggunakan teknologi terkini, namun masih mengekalkan keindahan asal karya tersebut di samping menawarkan pengalaman tontonan lebih segar dan mendalam kepada penonton.

“Saya menghargai usaha sahabat saya yang juga pengarah filem ini, Akbar Khan, serta kehadiran barisan pelakon asal yang memaknakan malam bersejarah ini.”

Beliau berkata kisah cinta Shah Jahan dan Mumtaz Mahal terus hidup sebagai lambang pengorbanan, kesetiaan serta keindahan ciptaan insan yang merentas zaman dan peradaban.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kerana Malaysia dipilih sebagai lokasi pelancaran global filem berkenaan yang menegaskan peranan negara sebagai hab budaya dan diplomasi serantau yang meraikan seni, memperkukuh dialog serta menyatukan nilai kemanusiaan.