fb fb fb fb fb

Tahun Baharu Cina, Larangan kenderaan berat guna jalan raya selama empat hari

Kenderaan berat dilarang menggunakan jalan raya selama empat hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan / Foto Hiasan

KAJANG, 6 Februari - Kenderaan berat dilarang menggunakan jalan raya selama empat hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata larangan itu akan berkuat kuasa pada 8, 9, 12, dan 13 Februari ini bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sekaligus mengurangkan risiko nahas jalan raya.

“Larangan jalan raya ini dilaksanakan dua hari sebelum dan dua hari selepas Tahun Baharu Cina bagi memastikan trafik lancar bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman untuk menyambut Tahun Baharu Cina, selain cuti sekolah,” katanya pada sidang media selepas Pemeriksaan Depoh Ops Khas Bulan Perayaan 2024, di sini.

Sementara itu, Lokman berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap 361 bas di 54 depoh seluruh negara sempena Ops Khas Bulan Perayaan 2024.

Beliau berkata, menerusi pemeriksaan itu, JPJ telah mengambil tindakan ke atas 12 bas dimana 10 bas telah dikeluarkan notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) kerana melanggar peraturan teknikal.

Manakala dua bas lagi telah diambil tindakan atas kesalahan yang lain.

Katanya, selain pemeriksaan teknikal dan kelayakan jalan raya membabitkan sistem brek, tayar, lampu, dokumen kenderaan dan pemandu, pemeriksaan turut melibatkan pemeriksaan status saman membabitkan pemandu dan syarikat bas.

"Kita jalankan sepanjang bulan ini iaitu sepanjang tempoh musim perayaan daripada Tahun baharu Cina ini dan juga kita faham ini musim cuti persekolahan dan kita akan jalankan secara menyeluruh selama satu bulan ini," katanya.

Tegas Lokman, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik serta pemandu bas yang melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya yang ditetapkan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN