PUTRAJAYA, 12 November- Tahap profesionalisme ejen takaful perlu diberi perhatian demi memastikan sumbangan positif industri itu kepada ekonomi.
Perkhidmatan pelanggan yang baik juga mampu menarik lebih ramai pencarum baharu, mengambil kira jumlah pemilikan insurans dan takaful dalam kalangan rakyat yang masih lagi rendah.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia, Mohd Radzuan Mohamed berkata kesedaran tentang perlindungan diri meningkat selepas pandemik selain didorong inisiatif kerajaan antaranya Perlindungan Tenang.
"September tahun ini kita nampak perkembangannya kembali positif. Yang ambil peperiksaan dan daftar jadi ejen dan pertumbuhan takaful sendiri, maknanya kita nampak satu kelestarian, momentum masih di sana. Kita terima kasih juga kepada kerajaan kerana kita lihat kempen baucar Perlindungan Tenang telah membuka rakyat tentang perlunya perlindungan takaful," katanya selepas Sidang Kemuncak Ejen dan Pemimpin Takaful 2023 (TLAS 2023) berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Program anjuran Persatuan Takaful Malaysia (MTA) itu bertujuan menzahirkan potensi pemimpin dan pengurus agensi serta ejen takaful dalam memperkukuh industri takaful selaras Pelan Sektor Kewangan 2022 hingga 2026.