Tahap pematuhan keselamatan bas di Terengganu memuaskan

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan-JPJ Negeri Terengganu, Mohd Zamri Samion

KUALA TERENGGANU, 27 Mac -Pematuhan keselamatan melibatkan pengusaha dan pemandu bas ekspres serta bas persiaran di Terengganu berada pada tahap memuaskan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lima daripada 413 bas ekspres diperiksa dikenakan tindakan sepanjang 11 hari Ops HRA 2026.
  • Kesalahan termasuk memandu di lorong kanan berterusan, cermin retak, keadaan tayar tidak memuaskan dan kesalahan teknikal lain.
  • Seramai 172 pemandu menjalani ujian saringan air kencing dan disahkan bebas pengaruh dadah.
  • Pemeriksaan penyamaran dan pemeriksaan teknikal roadworthiness tidak menemui isu serius atau kritikal.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, hanya lima daripada 413 bas ekspres yang diperiksa dikenakan tindakan dalam tempoh 11 hari pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri 2026 (Ops HRA 2026) di negeri itu.

Katanya, tindakan berkenaan melibatkan kesalahan memandu di lorong kanan secara berterusan, cermin retak, keadaan tayar tidak memuaskan dan kesalahan teknikal lain.

“Untuk Ops HRA 2026, JPJ memberi tumpuan kepada kenderaan pengangkutan awam seperti bas ekspres dan bas persiaran yang membawa penumpang pulang ke kampung halaman serta kembali ke tempat kerja.

“Kita (JPJ) dapati tahap pematuhan operator serta pemandu bas ekspres di Terengganu terhadap undang-undang keselamatan sangat tinggi dan tiada kes serius dilaporkan,” katanya pada Ops HRA 2026: JPJ Perhebat Pemeriksaan Terminal Bas-Nyawa Penumpang Jadi Keutamaan di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), malam tadi.

Menurut Mohd Zamri, operasi pemeriksaan turut melibatkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu serta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Katanya, seramai 172 pemandu menjalani ujian saringan air kencing dan disahkan bebas daripada pengaruh dadah.

“Kita dapat melihat bahawa tahap pematuhan dalam kalangan pemandu bas ekspres adalah agak tinggi. Selain itu, kita juga telah melakukan penyamaran di dalam bas ekspres dan tidak menemui sebarang isu yang serius. Sepanjang pemeriksaan teknikal terhadap kelayakan jalan raya (roadworthiness) kenderaan bas, juga tiada isu kritikal yang dikesan. Oleh itu, kita berharap keadaan ini dapat dikekalkan bagi memastikan keselamatan penumpang bas sentiasa terjamin,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata peningkatan kes kemalangan di negeri itu berpunca daripada masalah ‘microsleep’ melibatkan kenderaan persendirian.