JOHOR BAHRU, 11 Mei - Kertas cadangan pelaksanaan semula Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur –Singapura yang membabitkan pelaburan swasta sedang diteliti, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini.
Ia susulan beberapa syarikat swasta yang menyatakan minat untuk melaksana semula projek berkenaan.
Katanya, perkara itu turut dibincang bersama Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran semasa pertemuan dua hala hari ini.
"Setakat ini, kita masih di peringkat mendapatkan maklum balas memandangkan terdapat beberapa syarikat swasta yang berminat mahu projek HSR KL-Singapura diteruskan.
"Saya di sini memberi komitmen Singapura untuk meneliti cadangan dari Malaysia berhubung pelaksanaan sema HSR.
"Ini juga menjadi komitmen bersama Singapura bagi terus memperkasa jalinan perhubungan antara dua negara membabitkan laluan darat, udara dan air.
"Oleh itu, Singapura terbuka untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk meneliti apa jua cadangan untuk pelaksanaan semula HSR", katanya selepas lawatan kerja ke projek Sistem Transit Rapid (RTS) bersama Menteri Pengangkutan Singapura di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Malaysia terbuka kepada cadangan pelaksanaan semula Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura selagi ia tidak dibiayai oleh kerajaan.
Malaysia dan Singapura mula menandatangani perjanjian dua hala mengenai projek itu pada 13 Disember 2016 sebelum projek itu ditamatkan selepas mengalami beberapa kelewatan.
Projek tersebut membabitkan pembangunan sepanjang 350 kilometer yang akan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada hanya 90 minit.