
KUALA LUMPUR, 24 Februari – Kementerian Kewangan akan membubarkan syarikat bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) yang berstatus dorman sebaik sahaja semua obligasi kewangan dan isu perundangan diselesaikan.
- Kementerian Kewangan akan membubarkan syarikat MKD dorman selepas semua obligasi kewangan dan isu perundangan diselesaikan.
- Banyak syarikat tidak boleh ditutup kini kerana masih mempunyai hutang, komitmen kewangan atau proses likuidasi dan tuntutan perundangan.
- Laporan Audit mendedahkan 36 syarikat dorman mencatat liabiliti bersih besar dan memerlukan sokongan kerajaan atau syarikat induk.
- Keputusan pembayaran dividen ditentukan oleh lembaga pengarah berdasarkan aliran tunai, pelaburan, dan keperluan pengukuhan modal.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata sebahagian syarikat tidak dapat ditutup ketika ini kerana masih mempunyai hutang dan komitmen kewangan.
“Selain itu, terdapat juga syarikat yang dalam proses likuidasi atau menghadapi tuntutan perundangan Sekiranya isu-isu tersebut telah diselesaikan, syarikat dorman tersebut akan dibubarkan,” jelasnya di Dewan Rakyat.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 1/2026, 36 syarikat dorman mencatat liabiliti bersih RM1.248 bilion dan memerlukan sokongan berterusan kerajaan atau syarikat induk.
Secara keseluruhan, 116 daripada 641 syarikat Persekutuan dikenal pasti sebagai dorman.
Mengulas isu dividen, Liew berkata beberapa subsidiari termasuk bawah Petronas tidak mengisytiharkan dividen berdasarkan keperluan aliran tunai, pelaburan dan pengukuhan modal.
“Petronas melalui syarikat induk, Petroliam Nasional Bhd, telah membayar dividen RM32 bilion kepada kerajaan bagi tahun kewangan 2024, menunjukkan sumbangan kumpulan dinilai secara menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menjelaskan keputusan tidak membayar dividen oleh Cenviro Sdn Bhd dan Cradle Fund Sdn Bhd adalah selaras dengan polisi dan kedudukan tunai semasa syarikat.
Pembayaran dividen kekal sebagai keputusan lembaga pengarah berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap kedudukan kewangan dan keperluan jangka panjang syarikat, selaras dengan garis panduan tadbir urus sedia ada.