fb fb fb fb fb

Syarikat konsesi perlu sedia hadapi kesesakan sepanjang Ramadan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 10 Mac- Semua Syarikat Konsesi Lebuh Raya untuk melakukan persediaan rapi terutamanya pada waktu puncak agar perjalanan pengguna lebuh raya selesa, selamat dan lancar sepanjang Ramadan kata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu kenyataan.

LLM menjangkakan berlaku peningkatan jumlah trafik yang menggunakan lebuh raya bertol semasa pulang atau pergi bekerja sepanjang Ramadan yang dijangka bermula pada Selasa (12 Mac).

"Antara inisiatif yang perlu dilaksanakan ialah menyelaras semula lokasi dan masa penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan selaras dengan waktu pulang atau pergi dari bekerja sama ada di sektor kerajaan atau swasta yang akan berubah berbanding waktu kerja biasa.

"Menjadualkan semula waktu pengaktifan laluan tidal atau smartlane selaras dengan perubahan waktu kerja dan memastikan semua kemudahan disediakan di kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah dan plaza tol dalam keadaan baik termasuk aspek bekalan air dan tahap kebersihan," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, LLM turut meminta pihak terlibat untuk mengenal pasti lokasi-lokasi tumpuan dan menyediakan kemudahan tambahan bagi menangani peningkatan jumlah pengguna.

Selain itu kerjasama bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diadakan untuk membantu kelancaran trafik terutamanya di lokasi-lokasi kritikal seperti lampu isyarat selepas susur keluar lebuh raya.

Ketua Pengarah LLM Datuk Sazali Harun turut melakukan lawatan hari ini untuk melihat perancangan serta tindakan pihak ANIH Berhad bagi mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) khususnya di Plaza Tol Gombak.

Kementerian Kerja Raya, LLM serta semua syarikat konsesi lebuh raya sentiasa peka kepada keselesaan pengguna lebuh raya dan berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI