SHAH ALAM, 7 Jun- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1446H kepada seluruh umat Islam di Selangor khususnya dan di negara ini.
Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Baginda berdua menzahirkan harapan agar seluruh umat Islam mensyukuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala serta melaksanakan ibadah korban demi membantu golongan miskin dan menginsafi nasib golongan yang lebih daif.
Baginda turut mendoakan agar jemaah Haji Malaysia di Tanah Suci dapat melakukan ibadah dengan sempurna dan dikurniakan Haji yang mabrur seterusnya kembali ke tanah air dengan selamat.
Dalam pada itu, Baginda menzahirkan rasa dukacita dan kecewa terhadap peningkatan kes-kes penipuan pakej haji yang melibatkan umat Islam di Malaysia.
Baginda menitahkan agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat pelancongan yang menawarkan pakej haji dengan mengambil kesempatan untuk menipu umat Islam.
"Lebih menyedihkan, apabila pihak yang mengeksploitasi ini adalah dari kalangan umat Islam sendiri yang tergamak menipu saudara seagama demi kepentingan peribadi", titah Baginda.
Baginda menyeru agar umat Islam sentiasa memelihara kesucian ibadah haji dengan memastikan setiap urusan dibuat dengan ejen dan syarikat yang berlesen serta diiktiraf oleh pihak berkuasa untuk mengendalikan urusan haji dan umrah.