Sultan Perak berkenan terima zakat lebih RM5.67 juta daripada 8 syarikat

Foto Zakat Perak Al Ridzuan

IPOH, 12 Mac – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan menerima bayaran zakat berjumlah RM5,673,589.57 daripada lapan syarikat korporat dan tiga individu kepada Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR).

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis penyerahan zakat berlangsung semasa majlis berbuka puasa bersama pegawai agama dan imam di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
  • Bank Islam menyerahkan zakat RM751,000; Tan Sri Dr. Ismail Bakar mewakili KPJ menyerahkan zakat perniagaan RM1,386,000.
  • Lumut Maritime Terminal menyerahkan zakat RM1,138,486 dan Puncak Emas Infra RM850,000.
  • Sultan Nazrin berkenan menyerahkan zakat kepada Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Mohd. Annuar Zaini.

ZAPAR dalam kenyataan memaklumkan pembayaran zakat itu diadakan dalam satu majlis berbuka puasa bersama pegawai agama dan imam di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar malam ini.

Penyerahan zakat didahului dengan pembayaran zakat pendapatan daripada Dr. Ahmad Latiffi Muhammad Sidek berjumlah RM120,000, disusuli Azim Radin Mustapha Amiruddin sebanyak RM100,000.

Seterusnya penyerahan zakat perniagaan daripada Azzizudin Sdn Bhd diwakili setiausaha syarikat, Norzita Rabaai berjumlah RM496,103.57, diikuti Bank Islam Malaysia Berhad diwakili Pengerusinya Tan Sri Dr. Ismail Bakar (RM751,000).

Ismail yang juga Pengerusi KPJ Healthcare Berhad mewakili syarikat itu menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,386,000, diikuti BBV Engineering (M) Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya Ahmad Shafuan Arifin (RM200,000) dan Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mubarak Ali Gulam Rasul (RM1,138,486).

Turut membayar zakat perniagaan ialah Pakeeza Restaurant & Catering diwakili pemiliknya Rizal Ali Naizali (RM150,000), diikuti oleh Dr. Nurul Haizam Yahaya yang membayar zakat pendapatan (RM310,000) dan Puncak Emas Infra Sdn Bhd membayar zakat perniagaan diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Mesnor Bujang (RM850,000).

Penyerahan zakat perniagaan kemudian diakhiri oleh Zaman Motors Sdn Bhd diwakili Pengarahnya Datuk Khadri Khalid (RM172,000).

Sultan Nazrin kemudian berkenan menyerahkan zakat kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd. Annuar Zaini.- BERNAMA