(Sultan Mizan berkenan terima sembah maklum berhubung maklumat projek berkenaan)
KUALA NERUS, 18 September- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah, di Kuala Nerus hari ini
Turut berkenan berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli.
Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, pusat pentadbiran terbabit berkeluasan 187.76 hektar menempatkan bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus.
"Selain itu, ia juga menempatkan bangunan guna sama kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan yang merangkumi enam jabatan, dan kemudahan seperti dewan perdana dan pusat komersial. Dengan tertubuhnya Kompleks Pentadbiran Kuala Nerus ini, ia memberikan impak yang positif terhadap kualiti perkhidmatan dan khidmat pelanggan yang lebih baik, malah mampu merancakkan ekonomi di kawasan sekitarnya," katanya.
(Sultan Mizan berkenan melawat Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Kuala
Nerus sebelum merasmikan pusat pentadbiran Daerah Kuala Nerus)
Sebelum ini, Kuala Nerus diangkat sebagai daerah kelapan dalam negeri Terengganu pada 18 September 2014.
Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus diisytiharkan sebagai Bandar Al-Wathiqu Billah oleh Sultan Terengganu sempena Ulang Tahun ke 53 Keputeraan Sultan Terengganu.
Fasa pembinaan Pusat Pentadbiran Baru Kuala Nerus bermula pada 15 Disember 2015 dan siap sepenuhnya pada 28 Oktober 2021 sebelum beroperasi sepenuhnya pada 22 Februari tahun lalu.