fb fb fb fb fb

Sultan Abdullah mencemar duli rasmi landasan pertama ECRL di Pahang

Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Pemasangan Landasan Pertama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

KUANTAN, 11 Disember- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Pemasangan Landasan Pertama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Tapak Stesen ECRL Seksyen 10, Gebeng, di sini yang turut disaksikan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) secara keseluruhannya telah mencapai kemajuan lebih 56 peratus, setakat November lalu.

Tapak Projek ECRL di Kuantan Port City (KPC) menghala ke Dungun, Terengganu merupakan permulaan bagi pelaksanaan pemasangan landasan ECRL.

"Seperti yang telah dinyatakan, fasa pertama ini daripada Kuantan ke Dungun akan mengambil masa kira-kira tiga bulan setengah sepanjang lebih 97 kilometer. Kita yakin bahawa Projek ECRL akan siap mengikut tarikh yang telah ditetapkan. Ia akan mula beroperasi pada 1 Januari 2027," katanya kepada pemberita di sini.

Setelah landasan KPC ke Dungun selesai ia akan beralih kepada pemasangan landasan dari KPC hingga ke Maran, Pahang.

Sebanyak 40 buah terowong akan dibina di sepanjang jajaran rel. Setakat ini, 26 buah terowong berjaya dikorek menggunakan kaedah gerudi dan letup.

Dalam pada itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ECRL akan memberi kemudahan dan menjimatkan masa perjalan ke Kuala Lumpur, selain menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

"Selain lebuhraya sedia ada, kita akan fokus kepada ECRL. Akan datang pelabuhan juga akan dibesarkan. Insya-Allah kita ada lapangan terbang sendiri.

"Jadi ia akan melengkapkan infrastruktur di Pahang selain boleh menarik minat pelabur. Sekarang pun ramai pelabur tertarik dengan dengan negeri ini," katanya.

Projek mega dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak sepanjang 665 kilometer dengan 20 buah stesen penumpang dan kargo itu, dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026.

Tahun ini projek ECRL sudah memasuki fasa baharu pembinaan sejak awal tahun ini, merangkumi pemasangan rasuk jejambat, pembinaan stesen, dan pembinaan depot kereta api.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI