BUKIT JALIL, 2 Oktober - Kerajaan bersetuju memperluaskan manfaat subsidi petrol RON95 kepada bot-bot penumpang awam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, mekanisme pelaksanaannya sama ada melalui program BUDI95 atau Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) akan dimaklumkan kelak.
Keputusan itu dicapai selepas mesyuarat jemaah menteri bersama Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan.
Namun subsidi berkenaan hanya akan terpakai kepada bot yang didaftar atas nama pemilik warganegara atau syarikat yang berdaftar.
"Dalam kita meneruskan kerjasama mencari data dan mekanisme yang terbaik kita membenarkan, kita membuka kemudahan kepada pengurusan-pengusaha bot penumpang ini."
"Pada masa ini untuk mereka mendapat kemudahan tuntutan bayaran tunai walaupun mereka beli minyak petrol subsidi ron95 itu masih pada harga pasaran rm2.60 tetapi simpan resit yang sah itu. Kita akan umumkan dalam masa terdekat bagaimana para pengusaha bot penumpang awam ini boleh membuat tuntutan supaya mereka boleh mendapat bayaran balik tunai margin perbezaan di antara harga subsidi dan juga harga pasaran itu," katanya dalam satu sidang media selepas melancarkan Majlis Pelancaran dan Sidang Media MY GAYA Month di Pavillion Bukit Jalil
Tambah Datuk Armizan, kerajaan juga sedang bekerjasama dengan agensi-agensi negeri berkaitan bagi mengenal pasti pemilik bot yang layak.
Pelaksanaan tersebut turut merangkumi pengusaha bot penumpang khususnya yang menggunakan bot sebagai kaedah pengangkutan utama khususnya di Sabah, Sarawak dan di Semenanjung Malaysia yang menyediakan pengangkutan air kepada rakyat.
KPDN juga mengaktifkan Jawatankuasa Rayuan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), dengan peluasaan skop meliputi pelaksanaan SKPS, bagi meneliti isu-isu berbangkit sepertimana yang pernah dilaksanakan dalam penyasaran subsidi diesel.
Langkah ini dilihat sebagai komitmen kerajaan bagi memastikan golongan pengusaha bot penumpang awam turut menerima manfaat penyasaran subsidi petrol, di samping mengekang ketirisan serta memastikan subsidi disalur secara bersasar.