fb fb fb fb fb

Subsidi diesel: KPDN KL tidak menemui aktiviti mencurigakan di 62 stesen minyak

KUALA LUMPUR, 11 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur tidak menemui sebarang aktiviti yang mencurigakan selepas melakukan pemeriksaan di 62 stesen minyak di ibu negara bagi tempoh dua hari bermula Ahad.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, dalam operasi itu seramai 35 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur ditugaskan untuk membuat pemeriksaan dan rondaan di stesen minyak seluruh ibu kota.

"Pemeriksaan ini adalah untuk memastikan stesen-stesen minyak tidak menjual diesel melebihi harga kawalan sebelum pukul 12.00 tengah malam 10 Jun.

"Sekiranya kesalahan dikesan, tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya kepada Berita RTM di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya mendapati stok semasa bekalan diesel juga mencukupi bagi kesemua stesen minyak dan tiada berlakunya stock out.

"Secara keseluruhannya, pemilik stesen minyak menyambut baik pengumuman perubahan harga berdasarkan harga
semasa pasaran dan akan memberikan kerjasama yang penuh dari semasa ke semasa kepada pihak Kerajaan.

Tambahnya, pemilik premis stesen minyak turut mempamerkan harga terbaru bagi diesel iaitu RM3.35 seliter selepas pukul 12.00 tengah malam pada 10 Jun.

Tegas beliau, bagi kesalahan penyelewengan barang kawalan, tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Penguatkuasaan juga akan dijalankan di bawah Ops Kesan 2.0 untuk memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan dengan mengguna pakai alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen-stesen minyak.

"Aduan boleh disalurkan di talian 012-6654292 mengenai aduan caj, harga dan bekalan," ujarnya.

Susulan itu, KPDN Kuala Lumpur memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan manipulasi harga serta caj perkhidmatan sehingga menyebabkan berlakunya pencatutan berikutan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

GRACE AISYAH KEDAYAN