fb fb fb fb fb

Subseksyen 4(5) SOSMA dilanjut lima tahun lagi

KUALA LUMPUR, 26 Julai- Dewan meluluskan usul untuk melanjutkan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi.

Usul itu dipersetujui menerusi undian belah bahagian dengan keputusan 111 ahli parlimen menyokong.

Manakala 88 ahli parlimen tidak menyokong, 21 ahli parlimen tidak hadir.

Keputusan itu membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas untuk melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan bawah SOSMA, sehingga 28 hari untuk penyiasatan.

Ketika menggulung usul, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberi jaminan bawah Subseksyen 4(3), tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata atas kepercayaan politik atau aktiviti politiknya.

"Kesalahan keselamatan yang telah termaktub dalam jadual pertama SOSMA tersebut hanya termaktub kepada Bab VI iaitu kesalahan terhadap negara.

"Bab VIA kesalahan yang berhubungan dengan keganasan, Bab VIB jenayah terancang, Bab IIIA penyeludupan migran, akta dan akta langkah-langkah khas menentang keganasan di luar negara, tetapi daripada contoh yang dibangkitkan yang banyak sekali adalah tentang penggunaan 4(3)," katanya.

(Hamzah Zainuddin)

Perdebatan mengenai usul pelanjutan subseksyen SOSMA (Akta 747) mendapat sambutan hangat daripada ahli-ahli Dewan.

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara yang bersetuju agar Subseksyen 4(5) dilanjutkan selama lima tahun dengan penambahbaikan.

"Dalam tempoh lima tahun kalau pihak kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh meneliti ada proses dan prosedur yang boleh disingkatkan.

"Teknologi yang mungkin lebih canggih digunakan, mungkin keperluan tempoh masa 28 hari itu boleh dapat dikurangkan," katanya.

Wakil Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz pula berkongsi pengalamannya ketika membentangkan Akta SOSMA ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) pada 2012.

Menurutnya, SOSMA menjamin keadilan bagi mangsa jenayah dan keluarga mereka.

"Saya nak sentuh tentang apa yang kita lakukan untuk membela mangsa dan keluarganya, jadi polis ini mestilah diberikan alat untuk menyiasat.

"Jadi dalam hal ini kalau kita mahu membela rakyat tidak berdosa yang seharusnya undang-undang menjaga mereka, maka kita kena berikan alat kepada pihak polis untuk menyiasat dan saya telah mendengar apa yang telah dibentangkan oleh YB Menteri (KDN), mereka minta dipanjangkan sedikit iaitu 28 hari," jelas beliau.

Wakil Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut menyokong dengan nas bahawa akta SOSMA tidak keluar dari landasan Islam.

"Ulama bahaskan tempoh penahanan untuk siasatan, yang pertama hendaklah berkadar (bertempoh) dan ulama itu antaranya Abu Abdullah az-Zubairi, dari mazhab Syafi'e kita menyatakan bahawa kadar tahanan tidak boleh lebih daripada 30 hari untuk siasatan.

"Yang kedua kebanyakan ulama menyatakan kerajaan berhak menahan untuk siasatan banyak hari yang dia nak, asalkan itu beri kemaslahatan awam," katanya.

Media Baharu