fb fb fb fb fb

Suami isteri ditahan disyaki edar dadah

HILIR PERAK, 25 April- Sepasang suami isteri yang baru melangsungkan perkahwinan semalam, ditahan polis selepas disyaki mengedar dadah dianggar bernilai RM77,000 di Langkap, Perak.

Penahanan suspek berusia 23 dan 24 tahun itu dibuat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis (IPD) Hilir Perak, 12.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri menerusi kenyataan berkata, "suspek ditahan ketika berada di dalam sebuah kereta di kawasan parkir masjid dan dipercayai sedang menunggu pembeli."

Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menjumpai sebuah beg pakaian mengandungi 20 bungkus plastik berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 9.268 kilogram.

Dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan ke luar daerah Hilir Perak dan mampu menampung kegunaan 10,000 penagih.

Kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu selain turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pasangan berkenaan direman bermula Rabu bagi membantu siasatan.

(Foto hiasan)

Media Baharu