fb fb fb fb fb

Suami bunuh isteri: 34 kesan tikaman di badan mangsa

GEORGE TOWN, 5 Februari- Terdapat 34 kesan tikaman pada badan mangsa dipercayai dilakukan suaminya semalam, sebelum lelaki itu terjun dari tingkat 12 rumah mereka, di Paya Terubong, Pulau Pinang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt V.Saravanan berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Pulau Pinang hari ini mendapati, wanita malang berusia 46 tahun itu maut akibat tikaman berkenaan.

Jelas Superintendan Saravanan, wanita itu dipercayai meninggal dunia iaitu kira-kira tiga jam sebelum pihak polis menemui mayatnya.

"Mayat ditemukan dengan berlumuran darah di atas katil, dalam sebuah bilik di rumah pasangan berkenaan. Kemungkinan insiden berlaku bermotifkan cemburu, dan pasangan tersebut dipercayai sering bergaduh sejak tiga bulan lepas," katanya.

Semalam, pihak polis bergegas ke lokasi, selepas menerima laporan daripada ibu mangsa pada pukul 12.30 tengah hari selepas rumah anak dan menantunya gagal dibuka kerana berkunci dari dalam.

Superintendan Saravanan berkata, semasa kejadian anak lelaki mangsa yang berusia 18 tahun tiada di rumah, kerana tidur di rumah neneknya di Air Itam, iaitu tidak jauh dari rumah pasangan tersebut.

Terdahulu, pada 7.38 pagi, polis menerima laporan berhubung mayat seorang lelaki berusia 54 tahun ditemukan di kawasan flat itu, dan siasatan mendapati mangsa terjun dari tingkat 12 flat tersebut.

Media Baharu