KUALA LUMPUR, 6 Mei - Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk menstrukturkan semula sistem pembiayaan kesihatan sedia ada.
Ia bagi memastikan sistem tersebut lebih mampan, terangkum dan berkesan untuk jangka panjang seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam laman Facebooknya memaklumkan, perkara itu juga menekankan pentingnya tadbir urus, perolehan dan pelaksanaan yang berkesan.
Termasuk peranan pelbagai kementerian, khususnya Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan dalam merangka pelaksanaan seterusnya.
Ia telah dibincangkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) ke-8 2025, yang turut dihadiri enam menteri Kabinet dan pegawai tertinggi perkhidmatan awam pagi tadi.
Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada pembentangan mengenai Hala Tuju dan Inisiatif Transformasi Sistem Pembiayaan Kesihatan secara berfasa, serta cadangan penubuhan Dana Kesihatan Nasional.
Mesyuarat turut meneliti Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 yang dibentangkan Kementerian Ekonomi.